
1. Hari Raya Aidilfitri dah nak tiba. Kami sekeluarga balik kampung macam tahun-tahun lalu.Maklumlah anak Sabak ni masih ada ibu, adik-beradik dan ramai sanak saudara di sana. Kebetulan isteri pun anak Sabak. Selagi ibu masih ada dah jadi 'syarat' mesti beraya di kampung. Tak pernah seumur hidupku tak beraya di rumah ibubapa, kecuali sekali. Tahun itu aku sedang menghadapi pepereksaan Higher School Cert.(Form 6) di KL. Sedih tinggal di asrama, kebetulan aku seorang saja budak Melayu.
2.Menyambut Hari Raya dikampung lebih meriah dari di bandar. Dapat jumpa orang-orang kampungku di surau sebelum solat Aidilfitri. Ramai juga anak-anak muda yang aku dah tak kenal. Apapun itulah kampungku, 48 tahun lalu tak ramai penduduknya. Aku boleh bilang setiap rumah dan juga kenal setiap keluarga yang mendiaminya. Hari ini mungkin sekadar 10% saja ahli kariyah yang aku kenal. Dulu bilangan rumah hanya ada lebih kurang 20 kini sudah melebihi 200.
3.Dulu selepas solat, rumah pertama jemaah akan kunjungi ialah rumah Tok Imam. Ibuku dan semua adik-beradik sibuk menyediakan juadah dan menyambut tetamu. Selepas itu aku akan mengikuti rombongan tadi untuk berkunjung ke rumah jiran-jiran lain. Kini acara kunjungan secara beramai-ramai tidak dianjurkan lagi kerana jalan raya dah sebok, penduduk dah ramai dan untuk mengelak daripada berlaku kemalangan jalanraya. Jamuan Hari Raya diadakan selepas solat diperkarangan surau saja. Selepas itu kunjung mengunjung diadakan dalam kumpulan kecil.
4. Aku sekeluarga akan menziarahi rumah adik-beradik, saudara-mara terdekat yang sempat saja. Kalau nak di kunjungi semua tak cukup masa.
5. Kepada rakan-rakan sekolah yang ada di Sabak aku harap dapat berjumpa.
6. Dikesempatan ini aku dan isteri mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan mohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali kami dan yang membaca blog ini.